MELAKA: Kesedaran dalam kalangan belia untuk mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terutama yang terlibat dalam sektor e-panggilan akan dipertingkat bagi memastikan keselamatan golongan itu lebih terjamin.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata pihaknya telah memulakan kempen untuk mereka mencarum sejak tahun lepas bagi memberi perlindungan buat diri sendiri dan keluarga mereka.

"Bagi Parlimen Hang Tuah Jaya kita telah memulakan inisiatif ini dengan 50 penghantar makanan telah menerima manfaat caruman secara percuma. Insya-Allah kami akan teruskan usaha seperti ini dari semasa ke semasa," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu beliau melepaskan konvoi Kembara Ramadan anjuran Persatuan Rakan Penghantar Melaka, yang turut dihadiri Yang di Pertua Majlis Perbadanan Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron dan Timbalan Pengarah Perkeso Melaka Redhuan Muda @ Mohadyatim.

Menurut Adam Adli, menerusi Kembara Ramadan itu sebanyak 200 rakan penghantar makanan berkonvoi untuk menyampaikan bantuan kepada 120 penerima dalam kawasan Hang Tuah Jaya.

Kesemua penerima, katanya terdiri daripada keluarga asnaf, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya dan keluarga kurang kemampuan.

"Sumbangan hari ini berupa kit makanan asas dan biskut raya bagi meringankan beban mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri," katanya.

-- BERNAMA